Friday, 6 April 2012

ENTRI 25 : IRONI SEBAGAI KIASAN

Kadang - kadang kita tidak sedar bahawa apabila kita berkomunikasi dengan orang terdekat dengan kita terutamanya sahabat kita, seringkali kita lupa dan mengabaikan perasaan mereka. Kita tidak mementingkan kelembutan ketika berbicara sehingga menyebabkan sahabat kita tersinggung. Saya mula sedar tentang perkara ini setelah sahabat saya mengadu kepada saya tentang teman sebiliknya yang suka “cakap lepas” tidak kira masa, tempat dan sebagainya. Sebagai contoh, teman sebiliknya menegur cara dia berpakaian dengan mengeluarkan kata-kata kasar sehingga mengaibkan dirinya di hadapan orang lain.
Sepatutnya dia perlu menggunakan kata-kata yang lebih lembut yang tidak akan menyinggung perasaan sesiapa tetapi mampu menyedarkan orang yang mahu diberi teguran itu. Di sini saya menyarankan kepada rakan-rakan untuk menggunakan salah satu cara untuk membuat sindiran yang lebih lembut dan tidak menyinggung perasaan orang lain. Kita boleh menggunakan unsure Ironi dalam pengucapan dan komunikasi kita supaya kita dapat menjaga hati orang sekeliling kita. Menurut Glosari Istilah Kesusasteraan ( 1988 : 114 ), ironi merupakan istilah yang pada umumnya bermakna “ menyebut atau mengucapkan sesuatu yang berlainan daripada realiti atau kenyataan yang sebenar ”.
Secara literal, ironi bermaksud sindiran, cemuhan atau ejekan. Dalam percakapan atau pertuturan, ironi merupakan suatu bentuk kiasan, iaitu pernyataan yang membawa maksud lain daripada apa-apa yang dituturkan. Orang mungkin keliru dengan istilah ironi dan sarkasme ( sarcasm), walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan tertentu. Dari segi pengucapan, ironi menggunakan kata yang lebih lembut dan tidak kasar, meskipun kesannya mungkin lebih tajam dan menghiris. Ironi dapat dikesan dengan lebih mudah melalui pertuturan berbanding dengan tulisan.
 Hal ini kerana melalui intonasi suara, pendengar dapat merasakan bahawa apa-apa yang diujarkan itu mungkin mengandungi makna lain daripada yang dinyatakan. Menurut Rahman Shaari ( 1987 : 44 ), ironi merupakan kata-kata yang bermaksud lain daripada maksud sebenar. Ironi merupakan sesuatu yang menarik kerana kata-katanya membawa maksud yang bertentangan dengan makna literalnya. Ungkapan “ kita kian dekat apabila berjauhan” merupakan satu ironi. Misalnya, “Jauh berbau bunga”. "Bilik kamu kemas sangat" kata "kemas" dalam ayat sebenarnya membawa maksud sindiran bahawa bilik tersebut sangat berselerak. Tetapi penggunaan kata "kemas" tidak akan menyinggung perasaan orang yang dituju sebaliknya dia akan menerima teguran tersebut tanpa ada rasa kecil hati.

No comments:

Post a Comment