Friday 4 May 2012

ENTRI 40 : Peribahasa dalam pertuturan Mak Jah.


Situasi di Kebun.
Saya                : Mak Jah saya nak buka kedai menjahit bajulah, tapi saya tak tahu macam mana nak menjahit baju.
Mak Jah          :  Berguru kepalang ajar, bagai bunga kembang tak jadi. Kalau dah tak ada kemahiran tak payah nak buka kedai menjahit. Pergi ambil kursus dulu, dah ada kemahiran baru buka.
Saya                : Tapi, susahlah Mak Jah, nak pergi belajar pula, nak pergi dengan apa, nak bayar dengan apa?
Mak Jah          : Berakit ke hulu, berenang-renang ke tepian. Bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Kalau nak senang, kenalah susah dulu. Mana ada orang lahir-lahir terus senang.
Saya                : Habis tu saya nak pergi belajar menjahit dulu ke?
Mak Jah          : Kain gaharu kain cendana, sudah tahu bertanya pula. Yela takkan kamu nak ambil kursus baik motor pula.

Berdasarkan situasi di atas, saya berbual dengan ibu saudara saya di kampung. Saya bercadang mahu membuka sebuah kedai menjahit baju secara kecil-kecilan selepas tamat belajar nanti. Mak Jah menyarankan saya untuk mengambil kursus menjahit terlebih dahulu sebelum membuka kedai jahit. Saya bersetuju dengan cadangan yang diberikan oleh beliau.
Tetapi jika dilihat pada dialog di atas saya sangat suka apabila berbual dengan ibu saudara saya itu. Hal ini kerana, setiap pertuturan Mak Jah pasti ada unsur peribahasa yang diselitkan.Saya sangat mengagumi Mak Jah kerana dia masih mengamalkan penggunaan peribahasa dalam pertuturan hariannya.
Saya berharap akan menjadi seperti Mak Jah dan akan mengamalkan peribahasa dalam pertuturan harian saya. Hal ini kerana jika bukan saya siapa lagi yang mahu meneruskan tradisi dan melindungi khazanah-khazanah Melayu ini agar tidak luput ditelan zaman.

Thursday 3 May 2012

ENTRI 39 : Itulah Anak-anak Pak Ayob


Dengar sahaja mereka bercakap orang kampung sudah tahu itulah anak-anak Pak Ayob. Muka mereka adik-beradik tidaklah seiras dengan ayah dan ibu mereka. Jika dilihat daripada paras rupa memang saya tidak tahu bahawa mereka adalah anak Pak Ayob.
Tetapi jika didengar dari segi percakapan mereka saya dapat mengenal mereka adalah anak Pak Ayob. Hal ini kerana daripada ayah, ibu dan anak-anaknya mereka mempunyai gaya dan intonasi bercakap yang serupa seperti :

i.        Gagap.
ii.      Bercakap satu perkataaan-satu perkataan.
iii.    Menggunakan huruf e-pepet di setiap kata yang mengandungi huruf "A”.
iv.     Intonasi mendatar ketika bercakap.
v.       Seakan-akan berbunyi pelat ketika bercakap huruf “S”

Kelima-lima elemen di atas menjadi gaya dalam pertuturan keluarga Pak Ayob. Saya berasa pelik kerana kenapa berlaku hal demikian. Sedangkan saya dan adik-beradik saya tidak bercakap seperti ayah dan ibu saya. Begitu juga dengan kawan-kawan saya yang lain dan kami menganggap keluarga Pak Ayob sangat unik.
Perkara di atas mungkin berlaku kerana mereka kurang bercampur dengan orang luar. Saya mengenali keluarga Pak Ayob sejak dari kecil lagi  dan saya mendapati mereka lebih suka menghabiskan masa bersama ahli keluarga mereka sahaja dan kurang bercampur dengan orang kampung.Hal inilah yang menjadikan percakapan mereka satu keluarga sama kerana mereka bertutur berdasarkan apa yang mereka dengar daripada ayah dan ibu mereka.
                                                        

Wednesday 2 May 2012

ENTRI 38 : Lelaki Sengau Menjual Kerepek


Semalam saya pergi ke Rawang untuk berjumpa dengan sepupu saya. Seperti biasa saya telah melalui jalan lama untuk ke sana dan  berlaku kesesakan jalan raya yang teruk kerana waktu tersebut adalah waktu kemuncak orang ramai pulang daripada kerja. Sewaktu saya singgah di sebuah kedai untuk membeli air minuman saya terpandang seorang lelaki yang agak berumur menjual pelbagai jenis kerepek di dalam plastic besar yang dibawanya.
Dari tadi saya melihat orang ramai tidak mahu membeli kerepek lelaki tersebut. Saya berasa hairan dan terkilan dengan sikap masyarakat yang tidak mahu membeli kerepek yang dijual oleh pak cik tersebut. Jika tidak mahu makan kerepek itu, tidak salah jika mereka membeli dan memberikan kepada orang lain. Bukan mahal hanya RM2 sebungkus, dapat membantu lelaki tersebut dan meringankan kuantiti yang dibawanya dari tadi.
Kemudian, lelaki itu datang kepada saya dan bertanyakan kepada saya sama ada mahu membeli kerepek yang dijualnya. Baru saya faham kenapa orang ramai tidak mahu membeli barangan lelaki itu. Rupa-rupanya lelaki tersebut sengau. Mungkin orang ramai tidak faham dengan apa yang ditanyakan oleh lelaki tersebut. Selain itu, saya dapat memahami fikiran masyarakat yang sering memandang hina terhadap mereka yang kurang sempurna dan menganggap golongan tersebut seperti orang gila. Saya sangat kasihan melihat lelaki tersebut lalu membeli kerepek yang dijualnya.
Saya berharap masyarakat lebih bersikap terbuka dan menerima golongan ini seadanya. Mereka juga manusia biasa seperti kita. Jangan disebabkan kekurangan yang mereka miliki kita mengasingkan mereka daripada kehidupan masyarakat kita.

Tuesday 1 May 2012

ENTRI 37 : Bagaimana Menjawab Salam?


Baru-baru ini saya ada menonton filem Melayu genre seram yang bertajuk “Aweks Aku Pontianak”. Ramai pelakon terkenal membintangi filem tersebut dan jalan cerita yang dipaparkan sangat menarik dan tidak membosankan. Filem tersebut mengisahkan kehidupan seorang lelaki yang sangat baik dan sering ditindas oleh kawan-kawannya. Disebabkan dirinya yang sering ditindas, beliau tidak mampu untuk menjawat jawatan yang lebih baik di tempat dia bekerja sehingga menyebabkan teman wanitanya meninggalkan dia.
 Kemudian dia berpindah di perumahan berpuaka dan mengenali seorang wanita dan bercinta dengan wanita tersebut. Wanita itu sangat baik dan menyayangi dia dengan sepenuh hati. Sewaktu mereka sudah mula serius dan mahu berkahwin, lelaki tersebut mendapat tahu orang yang dicintainya itu adalah seorang Pontianak. Tetapi disebabkan cinta mereka itu terlalu kuat, akhirnya teman wanita dia telah menjadi manusia biasa.
Sebenarnya, sepanjang menonton filem ini saya keliru dengan seni kata yang dipaparkan. Hal ini kerana pihak yang bertanggungjawab menyediakan seni kata tersebut adalah orang Islam atau bukan. Saya tunjukkan seni kata yang membuatkan saya keliru iaitu ketika menjawab salam.

Pelakon A : Assalamualaikum
Pelakon B : Mualaikumsalam

Saya telah mendengar dengan teliti Pelakon B menjawab salam dan ternyata dia menjawab dengan betul iaitu “ Wa’alaikummussalam”. Jadi kesilapan ini berlaku bukan disebabkan oleh artis tersebut, tetapi disebabkan oleh kecuaian pihak yang menyediakan seni kata tersebut. Oleh itu, saya berharap pihak yang berkaitan lebih berhati-hati apabila menulis perkataan-perkataan yang berkaitan dengan orang Islam seperti di atas. Hal ini kerana ianya boleh  menimbulkan kekeliruan dalam kalangan orang Islam itu sendiri umumnya dan kepada kanak-kanak dan golongan remaja  khususnya.

Monday 30 April 2012

ENTRI 36 : PERANCANGAN TARAF BAHASA KEBANGSAAN

BAHASA JIWA BANGSA....


Apabila Persekutuan Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957, ada beberapa langkah yang dilakukan bagi membina bangsanya. Pertama, para pemimpin Persekutuan TanahMelayu memilih bahasa Melayu menjadi Bahasa Kebangsaan dan dimaktubkan dalam Perlembagaan Negara. Persekutuan Tanah Melayu kemudiannya menjadi Malaysiaselepas 1963. Mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan. Ini adalah langkah yang dikenali sebagai perancangan taraf Bahasa Melayu diberi taraf dan martabat baru.Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu diberi fungís-fungsi khusus. Fungsi tersebut ialah bahasa Melayu dijadikan bahasa pentadbiran negara, dan digunakan sebagai bahasa penghantar pendidikan. Inilah dasar yang membolehkan, buat pertama kalinya, pelajar Melayu dari luar bandar mendapat pendidikan melalui bahasa sendiri. Dasar ini dibentuk oleh Menteri Pelajaran pertama Persekutuan Tanah Melayu iaitu, Tun Abdul Razak Hussein, pada zaman penjajahan Inggeris, pendidikan menengah dan tingginya dalam bahasa Ingerís.
Pada masa itu hanya 10% anak-anak Melayu yang mendapat pendidikan sekolah menengah, dan tidak pun sampai ke universiti setiap tahun. Itupun dalam bidang sastera. Bilangan pelajar Melayu yang sampai ke universiti dalam bidang sains boleh dikira dengan jari. Bahasa Melayu telah mendemokrasikan pendidikan. Pendidikan sampai kepada semua lapisan rakyat. Itulah sumbangan terbesar Tun Abdul Razak Hussein kepada bangsa Melayu. Anak-anak Melayu dari luar mula menjadi doktor, jurutera, ahli sains dan lain-lain. Kejayaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan memang tidak dapat dinafikan. Namun dasar ini berubah kembali kepada bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar sains dan matematik pada tahun 2003. alasan kerajaan ialah bagi membolehkan pelajar menguasai bahasa Inggeris untuk kepentingan global. Dasar ini dijangka akan membawa penduduk luar bandar, estet, dan kawasan miskin di bandar kembali kepada keadaan sebelum merdeka.
Mereka tidak akan mampu belajar bahasa Inggeris dengan baik, dan sekali gus tersisih daripada pendidikan. Dasar ini banyak dibantah oleh Badan Bukan Kerajaan seperti Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Gabungan Penulis Nasional (GAPENA,) Akademi Sains Malaysia(ASASI), dan lain-lain.Mereka menyusulkan supaya sains dan matematik terus diajar dalam bahasa Melayu sebab dasar ini terbukti berjaya. Badan-badan bukan kerajaan ini sama sekali tidak menentang pembelajaran bahasa Inggeris. Cuma mestilah bahasa Inggeris diajar sebagai satu mata pelajaran sahaja, dan sekiranya perlu diberi penekananyang lebih kuat. Bukan bagi mengajar sains dan matematik di sekolah. Martabatkan bahasa Melayu demi menjaga maruah bangsa kita sendiri. 

Hujan Emas di Negeri Orang Hujan Batu Di Negeri Sendiri”

“Bangun kerana bahasa, berdiri kerana bangsa”