Friday 6 April 2012

ENTRI 25 : IRONI SEBAGAI KIASAN

Kadang - kadang kita tidak sedar bahawa apabila kita berkomunikasi dengan orang terdekat dengan kita terutamanya sahabat kita, seringkali kita lupa dan mengabaikan perasaan mereka. Kita tidak mementingkan kelembutan ketika berbicara sehingga menyebabkan sahabat kita tersinggung. Saya mula sedar tentang perkara ini setelah sahabat saya mengadu kepada saya tentang teman sebiliknya yang suka “cakap lepas” tidak kira masa, tempat dan sebagainya. Sebagai contoh, teman sebiliknya menegur cara dia berpakaian dengan mengeluarkan kata-kata kasar sehingga mengaibkan dirinya di hadapan orang lain.
Sepatutnya dia perlu menggunakan kata-kata yang lebih lembut yang tidak akan menyinggung perasaan sesiapa tetapi mampu menyedarkan orang yang mahu diberi teguran itu. Di sini saya menyarankan kepada rakan-rakan untuk menggunakan salah satu cara untuk membuat sindiran yang lebih lembut dan tidak menyinggung perasaan orang lain. Kita boleh menggunakan unsure Ironi dalam pengucapan dan komunikasi kita supaya kita dapat menjaga hati orang sekeliling kita. Menurut Glosari Istilah Kesusasteraan ( 1988 : 114 ), ironi merupakan istilah yang pada umumnya bermakna “ menyebut atau mengucapkan sesuatu yang berlainan daripada realiti atau kenyataan yang sebenar ”.
Secara literal, ironi bermaksud sindiran, cemuhan atau ejekan. Dalam percakapan atau pertuturan, ironi merupakan suatu bentuk kiasan, iaitu pernyataan yang membawa maksud lain daripada apa-apa yang dituturkan. Orang mungkin keliru dengan istilah ironi dan sarkasme ( sarcasm), walaupun kedua-duanya mempunyai perbezaan tertentu. Dari segi pengucapan, ironi menggunakan kata yang lebih lembut dan tidak kasar, meskipun kesannya mungkin lebih tajam dan menghiris. Ironi dapat dikesan dengan lebih mudah melalui pertuturan berbanding dengan tulisan.
 Hal ini kerana melalui intonasi suara, pendengar dapat merasakan bahawa apa-apa yang diujarkan itu mungkin mengandungi makna lain daripada yang dinyatakan. Menurut Rahman Shaari ( 1987 : 44 ), ironi merupakan kata-kata yang bermaksud lain daripada maksud sebenar. Ironi merupakan sesuatu yang menarik kerana kata-katanya membawa maksud yang bertentangan dengan makna literalnya. Ungkapan “ kita kian dekat apabila berjauhan” merupakan satu ironi. Misalnya, “Jauh berbau bunga”. "Bilik kamu kemas sangat" kata "kemas" dalam ayat sebenarnya membawa maksud sindiran bahawa bilik tersebut sangat berselerak. Tetapi penggunaan kata "kemas" tidak akan menyinggung perasaan orang yang dituju sebaliknya dia akan menerima teguran tersebut tanpa ada rasa kecil hati.

Thursday 5 April 2012

Entri 24 : MAKNA STILISTIK

          Rasa ingin tahu mula membuak-buak dalam diri saya selepas saya tidak dapat menjawab pertanyaan sahabat saya tentang Makna stilistik . Balik daripada kampus saya terus membuka buku dan laman sesawang. Banyak maklumat yang telah saya peroleh dan akan saya kongsikan kepada rakan-rakan semua dalam blog  ini.
Makna stilistik merujuk kepada situasi sosial di mana sesuatu ujaran itu berlaku.Ujaran penutur dan pendengar dapat menentukan bunyi atau kata yang dilafazkan. Daripada makna stilistik ini, kita dapat menentukan asal-usul atau kedudukan geografis penutur, hubungan sosial antara penutur dan pendengar, kedudukan status mereka atau pun kita dapat mengetahui bahasa yang digunakan itu adakah loghat, dialek atau bahasa baku (RobertSibarani et.al., 2003).
Pertama, fitur atau ciri tetap stilistik boleh dilihat daripada bahasa yang dituturkan oleh individu itu, dialek yang digunakan, dan tempoh masa ia dituturkan.Kedua, wacana yang dibahagikan kepada dua bentuk iaitu, media (samada yangdituturkan, ditulis dan sebagainya), dan penglibatan (dialog atau monolog). Ketiga, fitur sementara stilistik yang dipecahkan kepada, laras (bahasa undang-undang, sains, perubatan), status ( bahasa diraja, slanga, jargona), dan modalitas (bahasa syarahan, berjenakan, ceramah dan sebagainya).
Konteks memainkan peranan penting dalam perbualan antara penutur dengan pendengar. Dialek, slanga, jargona, atau status seseorang dapat menentukan siapa orang itu, atau orang ini. Contohnya ayat ini:

Hoi, mangkuk hayun! Berambuslah dari sini. Benci sunggung aku melihat muka kau!-

Dalam konteks ini, kita mestilah boleh membuat kesimpulan terhadap penutur bahawa penutur itu seorang yang pemarah, tidak penyabar, perungus, atau mungkin kita boleh memastikan status seseorang itu. Namun penilaian kita berbeza apabila terhadap ujaran yang positif. Contoh :

“Rasalah masakan yang dimasak oleh ibu saya ”

Dalam konteks ini kita boleh membuat kesimpulan terhadap penutur, bahawa penutur seorang yang baik hati dan pemurah. Jadi penggunaan bahasa ketika kita berkomunikasi dapat menentukan siapa penuturnya, status, dan latar  belakang penutur, loghat, aksen (tekanan suara pada kata atau suku kata), dialek, pangkat dan sebagainya yang mampu mencerminkan kedudukannya dalam masyarakat, keluarga yang baik-baik, berstatus tinggi dan berpelajaran tinggi.
             












                                                                                                                                                                            

Wednesday 4 April 2012

Entri 23 : Amalkan Kesantunan dalam Berbahasa

              Kesantunan verbal bermaksud komunikasi lisan. Berkomunikasi jenis ini banyak digunakan dalam kalangan individu yang berlaku setiap hari. Hal ini kerana kita sentiasa berhubung dengan orang lain sama ada bertujuan untuk melahirkan pendapat atau perasaan kita. Perhubungan antara kita dengan orang lain itu melalui proses komunikasi secara verbal. Dalam masyarakat Melayu kesantunan berbahasa sangat penting kerana bahasa melambangkan kehalusan budi, kesopanan, dan tingkah laku penutur dan masyarakat bahasa tersebut. 

Semasa Menjawab Telefon 
Jawab tiap-tiap panggilan dengan ucapan selamat diikuti oleh nama organisasi, nama pejabat atau nama sendiri dengan nada suara yang ramah sebaik sahaja anda mengangkat ganggang telefon.Contohnya:
(a) Hello ... Selamat pagi, Unit Stor Pejabat Agama Kuala Kangsar,.Puan Aida bercakap. Boleh saya bantu?
(b) Hello ... Selamat tengahari, Pusat Pemulihan Akhlak,Kuala Kangsar. Puan Latifah bercakap. Boleh saya bantu?
(c) Hello ... Selamat Petang, Unit MPKK. Puan Gauthry pegawai bertugas sedia membantu

Kesantunan Bahasa Di  Pintu Masuk
Imej sesebuah organisasi bermula dari  pintu masuk. Walaupun petugas di pondok pengawal dikendalikan syarikat swasta, bimbinglah  mereka untuk bertutur dengan penuh kesantunan. Contoh:
 (a) Selamat pagi encik, boleh saya bantu?
(b) Sila tinggalkan lesen memandu encik di sini. Terima kasih.
(c) Maaf encik, hanya kenderaan yang mempunyai pelekat rasmi sahaja dibenarkan masuk.
(d) Ada apa-apa lagi yang boleh saya bantu? Terima kasih encik/puan.Selamat jalan..

Kesantunan  Bahasa  Di  Tempat  Letak  Kereta
(a) Maaf encik/puan, di sini tidak dibenarkan meletakkan kenderaan.
(b) Mohon alihkan kenderaan ke tempat meletak kereta di sana.
(c) Maaf Encik/Puan, hanya kereta berpelekat sahaja dibenarkanmasuk       
       
Kesantunan  Bahasa  Di  Kaunter
Bahagian di hadapan  kaunter  adalah tempat di mana orang ramai berkumpul untuk mendapatkan makluman dan perkhidmatan. Justeru petugas perlu senyum dan bertanyalah dengan bahasa yangbersantun. Contoh:
 Selamat pagi encik/puan, boleh saya bantu?
Terima kasih, jumpa lagi.
                                    

Tuesday 3 April 2012

Entri 22 : Kata-kata Yang Menyinggung Perasaanku

Kakak  : Kak Cik, dah macam sakai je pakai mcm tu.
Saya    : Biarlah, asalkan pakai baju, nak kata apa kata la.

Sakai merupakan perkataan yang boleh menimbulkan perasaan-perasaan tertentu bergantung pada suasana penggunaan atau juga bergantung pada latar belakang masyarakat yang berkenaan. Banyak perkataan yang hanya boleh digunakan untuk sesuatu masyarakat sahaja, tetapi tidak sesuai untuk digunakan dalam sesebuah masyarakat yang lain. Jika hal ini dilanggar, maka akan timbul kemarahan, perasaan tidak senang, sakit hati,tersinggung, kecil hati dan berbagai-bagai lagi.
Sebagai contoh, perkataan ” Saka ” secaraamnya merujuk kepada salah satu kaum Asli yang terdapat di Malaysia. Perkataan ini tiada bezanya dengan ”Melayu” atau ”Cina” kerana rujukannya ialah kaum atau bangsa.Walau bagaimanapun, perkataan ”Sakai” mempunyai konotasi yang negatif jika digunakan dalam suasana atau konteks yang berbeza. Dalam kalangan masyarakat Melayu, perkataan ”Sakai” digunakan untuk mempersendakan orang lain, iaitu bagi maksud seseorang yang ketinggalan zaman atau tidak bertamadun.
         Oleh itu, perkataan”Sakai” mempunyai makna emotif yang berbeza sama sekali dengan makna asalnya. Justeru, penggunaan perkataan ini dianggap sebagai tidak sopan dalam kalangan masyarakat Melayu. Selain perkataan “sakai” kita juga sering menggunakan perkataan lain yang dianggap sebagai gurauan tetapi sebaliknya boleh mendatangkan kesdihan dan sakit hati orang yang mendengarnya. Contohnya :Penan, batak, pekaka, asli dan sebagainya yang dianggap merendahkan orang lain dengan menyamakan individu tersebut dengan bangsa ataupun kaum tersebut. Sebagai orang Melayu yang kaya dengan budi bahasa kita perlu mengelakkan diri dari menggunakan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan orang lain.               

Monday 2 April 2012

Entri 21 : WARISAN MELAYU KITA

Peribahasa
          Peribahasa merupakan penyeri  bahasa dan memberikan nafas baru kepada bahasa sebagai alat perhubungan yang dinamis. Wan Abdullah Ali ( 1957 : 2 ) mendefinisikan peribahasa sebagai satu rangkaian atau ikatan perkataan yang menjadi susunan kata yang pendek, mengandungi segala maksud dan tujuan orang yang bercakap itu dengan luas.                 
           Contoh peribahasa ialah “Kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai”. Secara tersirat peribahasa ini merupakan kiasan yang mengandungi kata-kata sindiran yang bermaksud memberikan perangsang kepada orang-orang yang lemah, tetapi ingin mengerjakan sesuatu yang merbahaya.

2)      Simpulan Bahasa
           Simpulan bahasa ialah ungkapan perkataan yang bersimpul dengan susunan yang khas dan dipakai dengan erti yang berlainan daripada asalnya. Abdullah Hassan ( 1986 ) mendefinisikan simpulan bahasa sebagai ungkapan yang terjadi dalam rentetan yang sesuai dengan pola frasa bahasa Melayu. Contoh simpulan bahasa ialah “kepala dua yang membawa maksud tidak berpendirian tetap.

3)      Perumpamaan
          Abdullah Yusof et.al. ( 2009 : 119 ) mendifinisikan perumpamaan sebagai  peribahasa yang mempunyai makna dua lapis. Peribahasa yang seperti ini menyebutkan sesuatu maksud dengan diumpamakan kepada sesuatu perkara yang sebanding dengannya. Contoh perumpamaan ialah “ Bagai tikus jatuh ke beras yang membawa maksud seseorang yang mendiamkan diri apabila sampai ke tempat yang dicari atau mendapat sesuatu yang dikehendaki.

4)      Pepatah
           Abdullah Yusof et.al. ( 2009 : 133 ) mendifinisikan pepatah sebagai  salah satu daripada jenis peribahas yang mempunyai sifat rangkaian kata-kata yang berkerat-kerat atau berpatah-patah, tetapi mengandungi unsur pengajaran. Setiap rangkai pepatah terdiri daripada dua baris atau lebih dan ia disebut satu demi satu seolah-olah seseorang itu sedang membuat perbilangan atau perkataan. Pepatah ini biasanya berkait rapat dengan adat istiadat, undang-undang atau peraturan masyarakat. Contoh pepatah ialah “ Acang-acang dalam negeri” yang bermaksud orang yang mendapat kepercayaan daripada penduduk setempat kerana kejujurannya.

5)      Bidalan
                Rubiah Aksah ( 2005 : 222 ) mendefinisikan bidalan sebagai sebahagian daripada peribahasa yang berfungsi sebagai nasihat, peringatan dan sebagainya kepada masyarakat di samping mempunyai ilmu, nilai dan pengajaran yang sangat berguna. Contoh bidalan ialah “Berjalan peliharalah kaki, berkata peliharalah lidah” yang bermaksud seseorang itu perlu berfikir dan berhati-hati dalam melakukan sesuatu pekerjaan atau tindakan yang dilakukannya.

6)      Kata-kata Pujangga
            Kata-kata Pujangga ialah Kata-kata hikmat atau kata-kata pujangga yang mengandungi pengajaran atau falsafah hidup. Kata-kata Pujangga juga dikenali sebagai Lidah pendeta. Kata-kata Pujangga mengandungi  ayat yang mengandungi unsur hemah atau kebijaksanaan.
           Maknanya mudah difahami, tetapi jika direnung maknanaya kita akan melihat maknanya dengan lebih luas lagi. Menurut Za’ba (1965) lidah pendeta tidak terkenal dan terpakai oleh orang ramai. Lazimnya lidah pendeta dipetik daripada buku dan sastera atau daripada percakapan orang yang bijak pandai. Contohnya :
Tidak ada kursus kilat untuk menjadikan seseorang itu waras serta cerdik sekelip mata
(Hussein Onn, Seribu Satu Malam )

7)      Hadis Melayu
            
          Hadis Melayu’ pula merupakan   perkataan yang bukan bersandar atau disabdakan oleh Rasulullah s.a.w.. Ia adalah ungkapan mengenai sesuatu perkara yang kebanyakannya diambil daripada kitab-kitab Jawi lama ataupun banyak merujuk kepada buku terjemahan dalam bahasa Melayu tanpa merujuk kepada naskhah asal bahasa Arabnya. Dalam konteks masyarakat Malaysia, ia memang mempunyai pengikut dan semakin sebati tetapi orang tidak menyedari kesan buruknya.
           Walhal ia ibarat barah yang jika dibiarkan akan membahayakan umat Islam. Ada beberapa contoh ‘hadis Melayu’ seperti melarang anak-anak kecil yang belum baligh berada dalam saf yang sama dengan orang dewasa semasa bersolat. Alasannya kerana kanak-kanak itu masih najis kerana masih belum berkhatan. Ini bermakna takrifan najis itu amat berat sedangkan dalam Islam, kanak-kanak walaupun belum berkhatan adalah bersih jika pakaiannya bersih kecualilah jika kanak-kanak itu kencing atau buang air besar. Dari segi bahasa, najis ialah sesuatu yang kotor dan mengikut syarak, najis ialah kekotoran yang menegah daripada sahnya ibadat.
         Begitu juga dengan ungkapan ‘tuntutlah ilmu sampai ke negeri China’, ‘cintakan negara adalah sebahagian daripada iman’, ‘kemiskinan itu menghampiri kekufuran’ dan kata-kata sahabat bukan sabda Nabi iaitu ‘bekerjalah kamu seolah-olah seolah-olah kamu hidup seribu tahun lagi dan beribadatlah kamu seolah-olah kamu mati esok hari’.

8)      Perbilangan
                 Nor Hashimah Jalaluddin (1992:26) mendefinisikan perbilangan sebagai  susunan kalimat yang bertujuan menjadi pegangan kepada anggota masyarakat sehingga menjadi adat atau peraturan. Perbilangan berasal daripada adat resam Melayu. Berfungsi sebagai pedoman  dalam kehidupan bermasyarakat dan bentuknya berkerat-kerat atau berpatah-patah.
            Perbilangan kebiasaannya dikaitkan dengan perbilangan adat yang diamalkan oleh masyarakat Minangkabau, Negeri Sembilan. Perbilangan adat atau kata-kata adat juga dikenali sebagai teromba. Menurut Wilkinson, teromba bermaksud salasilah seseorang, suatu kumpulan masyarakat, suatu bangsa satu sistem dan sebagainya (Harun Mat Piah, 1989:424).Contoh Adat bersendi hukum, Hukum bersendi Kitabullah,Kuat adat, tak gaduhkan hukum, Kuat hukum, tak gaduhkan adat, Ikut hukum, muafakat, Ikut adat muafakat.
9)       
      Gurindam 
            Menurut Za'ba (1962 ) di dalam karyanya Ilmu mengarang Melayu, perkataan gurindam itu berasal daripada bahasa Sanskrit menerusi bahasa Tamil. Ertinya biasa di fahamkan rangkap yang telah menjadi bidalan atau sebutan biasa pada orang ramai ataupun sesuatu pepatah berangkap yang disebutkan berpadanan dengan tempatnya. Ianya dihasilkan sebagai bahan nyanyian, jenaka, gurau senda dan sindiran sebagai hiburan dalam kalangan masyarakat. Perkataan dalam gurindam banyak menggambarkan keindahan alam dan mengambil perbandingan daripada keindahan itu seolah-olah untuk melukiskan isinya dengan warna yang cantik. Isi dan maksud gurindam disampaikan secara terus seperti syair. Contoh gurindam puisi dimulakan oleh : Raja Ali Haji dalam karyanya “Gurindam Dua Belas”,1846.
10
            Seloka
              Nor Hashimah Jalaluddin (1992:29) mendefinisikan Seloka sebagai puisi Melayu bebas yang tidak mempunyai bentuk tertentu dari segi rangkap, jumlah baris, samaada mempunyai irama atau tidak. Secara amnya,, ia terdiri daripada ungkapan sejajar yang melebihi daripada dua baris, mempunyai kadensa yang sama seperti talibun dan prosa berirama. Satu ciri penting bagi seloka adalah ia mempunyai maksud mengejek, menyindir secara serius atau jenaka, mengkritik tingkah-laku dan sifat negatif. Contohnya:
SELOKA PAK KADUK
Aduhai malang Pak Kaduk 
Ayamnya menang kampung tergadai
Ada nasi dicurahkan
Awak pulang kebuluran
Mudik menongkah surut
Hilir menongkah pasang
Ada isteri dibunuh 
Nyaris mati oleh tak makan
Masa belayar kematian angin
Sauh dilabuh bayu berpuput
Ada rumah bertandang duduk
             Pak Kaduk ditimpa nasib malang yang bertimpa-timpa akibat sikapnya sendiri. Walaupun ayamnya menang dalam persabungan, tetapi kampungnya tergadai. Nasi yang ada dibuang dan apabila balik, dia kelaparan kerana tiada makanan. Apabila Pak Kaduk mudik, dia menongkah surut. Apabila menghilir pula, dia menongkah air pasang. Maksudnya dia melawan arus. Pak Kaduk membunuh isterinya. Kemudian, dia sendiri hampir mati kerana tiada makanan. Ketika Pak Kaduk hendak belayar, angin berhenti bertiup. Apabila Pak Kaduk melabuhkan sauh (berlabuh), angin pun bertiup semula. Pak Kaduk turut menumpang di rumah orang walaupun dia mempunyai rumah sendiri.
11
             Tamsil Ibarat
            Mansoer Pateda, ( 2001:54 ) mendefinisikan  Tamsil dan Ibarat sebagai ungkapan yang memberikan penjelasan tentang perkara yang hendak hendak dibandingkan. Tamsil biasanya bersajak dan dibandingkan  sedangkan ibarat tidak.Contoh:
Keras-keras kerak nasi, kena air lembut juga.
Sekeras-keras hati orang apabila dipujuk akhirnya akan lembut juga.