Friday, 9 March 2012

Entri 5 : BAHASA ROJAK KINI DALAM LAGU

          Kadang-kadang terfikir juga sama ada bahasa rojak mampu menggugat usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu. Setiap hari semakin ramai orang Melayu yang mencampurkan bicara mereka dengan bahasa lain terutamanya bahasa Inggeris. Bila difikirkan untuk apa? Entahlah mungkin kebiasaan, santai atau rasa ingin menunjuk-nunjuk atau sebagainya. Tetapi kadang-kadang terasa semakin risau dengan kehadiran bahasa rojak ini. Dahulu dalam pergaulan, tetapi kini semakin banyak kedengaran penggunaan bahasa rojak dalam lirik lagu yang dinyanyikan oleh artis kita. Sebagai contoh saya ambil beberapa baris lagu Zee Avi yang bertajuk Kantoi:
Semalam I call you, you tak answer
You kata you keluar pergi dinner
You kata you keluar dengan kawan you
but when i call Tommy he said it wasnt true..
So I drove my car pergi Damansara
Tommy kata maybe you tengok bola
Tapi bila i sampai you, you tak ada Lagilah I jadi gila………

       Bahasa rojak ialah fenomena bahasa kacukan semasa yang berkaitan dengan percampuran bahasa Melayu dan bahasa Inggeris atau bahasa Cina yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa dasarnya. Bahasa rojak boleh dirumuskan sebagai satu variasi atau satu ragam bahasa basahan yang dapat diterima penggunaannya dalam suasana tidak rasmi. Jika dilihat dalam lirik lagu di atas, terdapat banyak penggunaan bahasa Inggeris yang dicampurkan dalam bahasa Melayu. 
         Nampak seperti bahasa Melayu itu sebagai alat mainan dalam bahasa rojak. Sekiranya fenomena ini terus membadai masyarakat kita, nescaya rosaklah bahasa Melayu itu. Oleh itu, pihak-pihak yang berkaitan perlu memantau fenomena ini agar tidak terus menular dalam kalangan penutur bahasa Melayu yakni orang Melayu itu sendiri.Kita harus sedar bahawa kita perlu bangkit dan membuang anasir-anasir yang mampu menggugat bahasa Melayu.

Thursday, 8 March 2012

Entri 4 : .DIALEK DALAM PENGAJARAN BAHASA MELAYU?

         Pening-pening apabila kita mendengar arahan dalam dialek ketika sesi pengajaran. Apatah lagi pelajar-pelajar sekolah menengah yang tidak bercampur dengan rakan-rakan yang menggunakan dialek yang sangat asing daripada mereka. Jika pelajar yang menggunakan dialek itu, tidaklah mendatangkan masalah, tetapi apabila guru yang menggunakan dialek ketika sesi pengajaran ini akan memberikan masalah kepada para pelajarnya. Apa salahnya jika guru tersebut bertutur menggunakan bahasa baku, alangkah lebih baiknya ia dijadikan sebagai amalan kerana guru berbicara untuk menyampaikan ilmu, jadi bahasa baku merupakan bahasa yang paling tepat untuk menyampaikan ilmu supaya para pelajar dapat menerima ilmu yang disampaikan dengan sempurna. 
           Dialek ialah bahasa yang digunakan dalam percakapan di sesuatu daerah atau bahagian negeri yang mempunyai pelat sebutan yang khas bagi daerah itu, yang berbeza pula daripada sebutan-sebutan umum yang digunakan di Negara ini ( Nik Safiah Karim.et.al, 2009:35). Saya teringat situasi yang dialami adik saya ketika seorang guru daripada Kelantan baru dipindahkan ke sekolah mereka. Hari pertama pengajaran guru tersebut telah mengajar pelajarnya tentang karangan masalah Sosial yang Melanda Remaja Hari Ini. Tetapi semua pelajar terpinga-pinga setelah guru tersebut memberikan arahan tentang tajuk karangan kepada pelajar. Mengapa? Ini puncanya: 

'Ari ni kito ake belaja pasal karange yang bertajuk masaloh sosial dale kalange remajo.. apo pendapat kamu semuo tente masaloh sosial yang melando remajo pado ari ni?'
         
          Sekiranya situasi ini terus melanda di sekolah tersebut, apa akan terjadi kepada pelajar yang terpaksa menghadapinya setiap hari? Masih adakah penggunaan bahasa baku dalam kehidupan seharian mereka sebagai seorang pelajar? Seharusnya, sebagai seorang guru, kita perlu menyesuaikan bahasa yang digunakan, mungkin dialek dianggap sebagai santai. Tetapi dalam situasi formal alangkah eloknya jika kita menggunakan bahasa baku sebagai wahana untuk menyampaikan ilmu. 
 

          Awing Sariyan (1979:9) telah mengenal pasti beberapa punca utama kemerosotan pelajar-pelajar Melayu dalam pembelajaran bahasa, antaranya ialah faktor gangguan dialek. Hal yang sama juga dinyatakan oleh Lado (disebut oleh Farid M.Onn, 1983:15) bahawa kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pelajar mengenai sesuatu aspek bahasa kedua akibat gangguan daripada kebiasaan menggunakan unsur-unsur bahasa pertama. 
      Kenyataan Lado, disokong oleh beberapa pengkaji seperti Leopold (19480, Politzer (1965), Farid dan Ajid (1981), Kadir Amin (1981) dan Raminah Sabran (1983) yang mengatakan bahawa gangguan bahasa pertama ke atas bahasa kedua sememangnya berlaku dan kemungkinannya adalah besar sekali. Jadi sama-sama kita fikir langkah terbaik untuk meluputkan budaya menggunakan dialek dalam sesi pengajaran di sekolah.