Friday, 23 March 2012

Entri 15 : Bahasa Baku

           Kali ini saya akan membicarakan tentang bahasa baku. Kenapa saya memilih perkara ini untuk dibicarakan adalah kerana ramai yang tidak mengetahui apa itu bahasa baku? Hal ini dapat saya buktikan setelah saya menanyakan kepada beberapa orang sahabat tentang apa itu bahasa bakau? Rata-rata mereka menjawab tidak tahu.  Istilah bahasa baku dan bahasa standard merujuk kepada perkara yang sama. Di dalam Kamus Dewan 1989, perkataan ‘baku’ ini membawa pengertian “yang (sudah) diterima umum sebagai betul dan sah….dan dapat dijadikan asas perbandingan” .
          Pembakuan merujuk kepada proses pengekodan bahasa. Biasanya pengekodan bahasa ini membabitkan aspek tatabahasa, sebutan ejaan, pengkamusan dan peristilahan. Para sarjana telah memberikan definisi kepada konsep bahasa baku. Antaranya Garvin dan Mathiot mendefinisikan bahasa baku sebagai “a codified form of language, accepted by and serving as a model to a larger speech community”. Definisi oleh Garvin dan Mathiot ini menunjukkan bahawa sesuatu bahasa itu adalah bahasa baku jika bahasa berkenaan dikodifikasi dan diterima oleh masyarakat secara umum serta menjadi model kepada masyarakat bahasa tersebut.
            Secara tidak langsung kita boleh katakan bahawa satu persetujuan telah dicapai oleh sesuatu masyarakat untuk memillih satu variasi daripada beberapa variasi yang ada dalam masyarakat tersebut untuk dijadikan model yang terbaik sebagai bahasa baku.
Bahasa baku berfungsi sebagai kerangka acuan bagi pemakaian bahasa. Untuk menerapkan pemakaiannya itu, dan kaedah menjadi dasar benar tidaknya pemakaian bahasa itu. Oleh kerana itu, kumpulan unsur bahasa yang disebut kosakata perlu adanya pembakuan yang menyeluruh.
Sebagai contoh bahasa baku:
Lelaki itu seorang yang sangat kaya dan pemurah.
Mereka bergotong-royong membersihkan kawasan perumahan agar dapat menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes.
         Kedua-dua contoh di atas dapat dikatakan sebagai bahasa baku kerana ayat tersebut tidak mengandungi unsur-unsur bahasa yang tidak baku seperti dialek, slanga, rojak dan sebagainya. Oleh itu, saya menegaskan bahawa bahasa baku merupakan penyatuan kepada semua bangsa dan kita sebagai penutur aslinya perlulah memartabatkan bahasa Meayu baku agara “ tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas”

Thursday, 22 March 2012

Entri 14 : Bahasa Rahsia

           Teringat semasa  saya berumur 11 tahun, saya mula belajar bahasa rahsia yang boleh  dianggap bahasa yang paling hebat dan membuatkan saya berasa megah dalam kalangan rakan-rakan yang tidak tahu bahasa yang saya gunakan. Bahasa rahsia ini hanya diketahui oleh rakan-rakan saya yang rapat sahaja. Kami menggunakan kesempatan ini untuk mengata atau mengutuk kawan-kawan yang membuat salah dengan kami.
      Bahasa rahsia juga saya gunakan semasa saya berada di rumah apabila kawan-kawan mengajak saya keluar untuk bermain. Bahasa rahsia yang saya gunakan ketika itu sangat penting supaya ibu tidak tahu saya keluar untuk bermain dengan kawan-kawan.  Bila difikirkan terasa sangat lucu kerana bahasa itu saya rasakan seperti sangat tidak masuk akal.
        Bahasa rahsia yang dulunya sangat rahsia bagi saya dan sahabat, tetapi kini bukan lagi rahsia kerana semua orang sudah mengetahui tentangnya. Berikut saya selitkan bahasa rahsia yang saya sering gunakan semasa zaman kanak-kanak dulu :

     “Amakumu hemendakmak mamainmin jumugakmak. Kamamumu jamanganman bamagimitamahumu ememakmak amakumu. Kamalaumau timidakmak amakumu takmaknakmak kamawanman demenganman kamamumu.”

“Aku hendak main juga. Kamu jangan bagitahu emak aku. Kalau tidak aku taknak kawan dengan kamu”
          
          Jika dilihat bahasa rahsia di atas sangat unik dan menarik. Biarpun bahasa ini tidak diktiraf oleh mana-mana pihak namun, saya sangat suka menggunakannya kerana bahasa ini boleh dijadikan sebagai medium komunikasi yang menarik dan membuatkan kita selalu berfikir dengan pantas untuk menuturkannya supaya tidak berlaku kesilapan. Selain itu, dengan adanya bahasa rahsia ini, kita mampu mengungkapkan perkara peribadi kita tanpa diketahui oleh orang lain.