Menurut Amat Juhari Moain (1992), kesantunan berbahasa adalah kesopanan dan kehalusan dalam menggunakan bahasa ketika berkomunikasi sama ada melalui lisan atau tulisan. Bahasa yang digunakan penuh dengan adab tertib, sopan santun dan mengandungi nilai-nilai hormat yang tinggi. Pada umumnya, bahasa yang sopan mempunyai kosa kata yang halus untuk menyampaikan sesuatu mesej atau perasaan,seperti ibarat kata bijak pandai:
“Yang Kurik itu kendi, yang merah itu saga
Yang baik itu budi, yang indah itu bahasa”
Setiap bicara kita sepatutnya beradab dan sopan agar orang yang mendengarnya lebih selesa untuk meneruskan perbualan. Tetapi jika bicara kita itu disulami dengan kata-kata yang kurang sopan dan kasar pastinya tidak ada orang yang mahu berbual dengan kita. “Biar buruk rupa, asalkan jangan buruk bicara” begitulah kita memandang betapa tingginya nilai kesantunan dalam kita berbahasa. Tetapi tidak semua orang tahu bagaimana untuk berbicara dengan bahasa yang sopan.
Saya tertarik untuk berkongsi pengalaman saya semasa berada pada semester 2, saya mengikuti salah satu kursus major dengan seorang pensyarah muda. Setelah mengikuti kuliah beliau hampir 4 minggu saya mula rasa tidak senang dengan beliau. Kenapa? Kerana beliau menggunakan kata-kata kasar dan kesat kepada pelajarnya. Layakkah beliau mendidik anak bangsa sekiranya beliau menunjukkan contoh yang tidak baik kepada pelajar?
Setiap hari beliau menjamu pelajarnya dengan maki hamun, kutukan dan sebagainya yang saya anggap kurang sopan. Beliau sering memanggil pelajarnya “bodoh”, “kambing”,”lembab” dan beberapa perkataan lain yang tidak mampu untuk saya kongsikan di sini. Saya berharap selepas kejadian tersebut ianya memberikan ikhtibar kepada saya dan juga pelajar lain agar tidak menggunakan bahasa yang kurang sopan ketika mengajar di dalam kelas ataupun di luar kelas. Hal ini kerana, bahasa melambangkan jati diri kita sebagai seorang manusia.
No comments:
Post a Comment