Wednesday, 7 March 2012

Entri 3 : Mengapa Bertutur Menggunakan Bahasa Pasar ?

   "Lu mau beli ini ikan ke. Ini ikan cukup baik le. Lu beli manyak-manyak.
     Lu pilih dulu cali beto-beto baik punya.Wa cakap beto, wa tak dak tipu lu oi, 
  manyak mulah ini ikan, mali-mali angkat ini ikan."
         Bahasa yang dituturkan di atas ialah contoh bahasa yang seringkali kita dengar ketika mahu membeli sesuatu daripada individu yang bukan Melayu. Faham atau tidak bukan persoalannya, tetapi wadah yang ingin disampaikan yang perlu dijadikan fokus utama kita. Contoh ayat di atas akan dikupas bagi melihat apakah jenis bahasa tersebut dan bagaimana bahasa ini boleh terbentuk. Bahasa ini dikenali sebagai bahasa pasar iaitu merupakan bahasa Melayu yang dituturkan oleh orang bukan Melayu yang tidak menguasai bahasa Melayu seperti yang dituturkan oleh orang Melayu apabila bertutur dengan orang bukan Melayu yang diketahuinya tidak pandai bertutur dalam bahasa Melayu yang betul.
          Bahasa pasar merupakan bahasa yang bercampur aduk antara bahasa ibunda penutur dengan bahasa kedua yang cuba dituturkannya, biasanya digunakan dalam hubungan perdagangan. Bahasa pasar juga dikenali sebagai bahasa pidgi ( Kamus Dewan, 1996 : 88 ). Bahasa pasar atau pidgin tidak mempunyai sistem tatabahasa yang tertentu. Maksudnya bahasa pasar tidak gramatis sifatnya jika dibandingkan dengan bahasa baku. 
         Penutur bahasa pasar menggunakan kata-kata dalam bahasa Melayu dengan dicampur aduk dengan bahasa asing, iaitu bahasa ibunda penutur itu. ika penutur itu orang Cina, maka kata-kata daripada bahasa Cina dicampuradukkannya dengan bahasa Melayu. Lazimnya kata-kata bahasa Melayu dicampuradukkan dengan kata bahasa asing dan mengucapkannya mengikut struktur ayat bahasa asing. Dari segi intonasi atau lagu bahasa juga, didapati terpengaruh oleh intonasi bahasa asing seperti bahasa Cina dan bahasa Tamil, Bahasa Benggali, bahasa Inggeris dan sebagainya. 
         Menurut Za'aba gaya yang dipakai ketika orang-orang Melayu bercakap sama-sama Melayu dinamakan "gaya cakap mulut sahaja, dan jika yang dipakai di antara orang Melayu dengan bangsa lain atau di antara orang bangsa lain yang berlainan bangsa dinamakan bahasa pasar".Za'ba dalam buku Ilmu Mengarang Melayu menggunakan istilah bahasa kacukan bagi bahasa pasar. Beliau menyatakan antara bahasa Melayu pasar termasuklah bahasa Melayu-Cina, Melayu-Baba, Melayu-Tamil, Melayu Benggali dan Melayu-Inggeris. 
         Saya berpendapat, orang bukan Melayu mengucapkan bahasa Melayu pasar mengikut telor bahasa mereka kerana mereka tidak fasih berbahasa Melayu. Tetapi orang Melayu turut terikut-ikut menggunakan bahasa pasar dan mengikut telor bahasa asing supaya maksudnya mudah difahami. Sepatutnya, kita sebagai orang Melayu jangan "merendahkan" taraf bahasa Melayu supaya kita dapat menjadi contoh kepada orang-orang bukan Melayu. Bahasa pasar ini perlu dielakkan penggunaannya oleh orang Melayu agar usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu dapat  dilaksanakan dengan jayanya.

No comments:

Post a Comment