Tuesday, 6 March 2012

Entri 2 : Slanga Dan Mak Cik?

     "Hampeh, kamu  skodeng orang tak ajak aku pun".Apa sudah jadi?  Terkesima saya mendengar perbualan Mak Cik yang menjual goreng pisang di kawasan tempat tingal saya yang berbual menggunakan  Slanga  "Hampeh" dan "Skodeng". Slanga yang selama ini yang menjadi nadi bicara para remaja rupa-rupanya turut menular dalam kalangan orang tua. Sukar dipercayai, wabak  Slanga ini berjaya menerjah dalam jiwa mereka yang sudah berumur. 
       Apa nak dikata, itulah kenyataannya. Sebenarnya slanga menurut Kamus Dewan, didefinisikan sebagai "kata-kata, ungkapan dan seumpamanya yang tidak tergolong dalam bahasa baku atau bahasa tinggi tetapi lazim digunakan dalam percakapan tidak rasmi". Menurut “The Oxford Companion to the English Language” oleh Tom McArthur (1996) istilah slanga ini berasal dari abad ke-18 yang bermaksud “origin uncertain” iaitu ketidaktentuan sebenarnya. 
           Secara etimologi kata, slanga berasal dari kata “sling” iaitu sebahagian daripada ungkapan yang dihubungkaitkan dengan “beggar language and rogues language” iaitu bahasa kelompok pengemis dan anak jalanan. Slanga merupakan kosa kata yang tidak baku, tidak standard, sering kali berubah dan secara umum berbeza dengan  kosa kata lainnya. Slanga sering digunakan oleh golongan remaja atau kelompok sosial tertentu untuk berkomunikasi sesama mereka dan hanya difahami oleh kelompok itu sahaja.
      Pengaruh bahasa slanga yang semakin berkembang penggunaannya mendatangkan kerisauan bukan saja dalam kalangan pakar linguistik atau pejuang bahasa Melayu. Adakah masalah ini harus dibiarkan sahaja tanpa ada jalan penyelesaiannya. Penggunaan Slanga jika tidak dipantau dibimbangi akan merencatkan usaha untuk memartabatkan bahasa Melayu hari ini, lebih-lebih lagi dengan kedudukan bahasa kita yang seolah-olah makin tiada tempat lagi di negara sendiri. 
       Peranan kita para guru, kita perlu menjelaskan perkara ini kepada pelajar agar pelajar dapat membezakan penggunaannya dalam variasi formal dan tidak formal. Gunakanlah jenis bahasa yang betul pada tempat yang betul!
Anda mungkin juga meminati:

No comments:

Post a Comment