Wednesday, 2 May 2012

ENTRI 38 : Lelaki Sengau Menjual Kerepek


Semalam saya pergi ke Rawang untuk berjumpa dengan sepupu saya. Seperti biasa saya telah melalui jalan lama untuk ke sana dan  berlaku kesesakan jalan raya yang teruk kerana waktu tersebut adalah waktu kemuncak orang ramai pulang daripada kerja. Sewaktu saya singgah di sebuah kedai untuk membeli air minuman saya terpandang seorang lelaki yang agak berumur menjual pelbagai jenis kerepek di dalam plastic besar yang dibawanya.
Dari tadi saya melihat orang ramai tidak mahu membeli kerepek lelaki tersebut. Saya berasa hairan dan terkilan dengan sikap masyarakat yang tidak mahu membeli kerepek yang dijual oleh pak cik tersebut. Jika tidak mahu makan kerepek itu, tidak salah jika mereka membeli dan memberikan kepada orang lain. Bukan mahal hanya RM2 sebungkus, dapat membantu lelaki tersebut dan meringankan kuantiti yang dibawanya dari tadi.
Kemudian, lelaki itu datang kepada saya dan bertanyakan kepada saya sama ada mahu membeli kerepek yang dijualnya. Baru saya faham kenapa orang ramai tidak mahu membeli barangan lelaki itu. Rupa-rupanya lelaki tersebut sengau. Mungkin orang ramai tidak faham dengan apa yang ditanyakan oleh lelaki tersebut. Selain itu, saya dapat memahami fikiran masyarakat yang sering memandang hina terhadap mereka yang kurang sempurna dan menganggap golongan tersebut seperti orang gila. Saya sangat kasihan melihat lelaki tersebut lalu membeli kerepek yang dijualnya.
Saya berharap masyarakat lebih bersikap terbuka dan menerima golongan ini seadanya. Mereka juga manusia biasa seperti kita. Jangan disebabkan kekurangan yang mereka miliki kita mengasingkan mereka daripada kehidupan masyarakat kita.

No comments:

Post a Comment