Tuesday, 17 April 2012

ENTRI 27 : PERBEZAAN GELARAN DATUK DAN DATO'

Di Malaysia,  terlalu banyak gelaran kehormat seperti Tan Sri , Datuk Seri, Dato’ Seri, Datuk ,  Dato’ dan sebagainya telah diberikan kepada insan-insan tertentu yang banyak menabur jasa dan bakti  kepada negara sama ada dalam bidang politik, sukan, hiburan, akademik, ekonomi dan sebagainya. Mungkin gelaran kehormat itu merupakan satu langkah atau penghargaan kepada mereka yang telah mengharumkan nama negara dan penghargaan itu dapat meletakkan golongan tersebut di tempat yang sangat disanjung.
 Namun demikian pernahkan kita terfikir kadang-kadang kita mudah terkeliru dengan penggunaan gelaran tersebut seperti penggunaan Dato’ dan Datuk sehingga kita tersalah meletakkan gelaran tersebut kepada orang atau individu yang tidak sepatutnya. Di sini saya terdetik untuk menyelesaikan kekeliruan tersebut dengan memberikan dan menyatakan perbezaan kedua-dua gelaran tersebut agar kita sama-sama dapat belajar dan menggunakan gelaran tersebut dengan betul pada masa hadapan.
Dato' ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Sultan atau Raja. Contohnya gelaran Dato’ yang dianugerahkan kepada Dato’ Siti Nurhaliza dan Dato’ Sheila Majid.
 Datuk pula ialah gelaran kehormat bagi penerima Anugerah Darjah Kebesaran yang dianugerahkan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang diketuai oleh Yang Dipertua, seperti Melaka, Sarawak, dan Sabah. Contohnya, Datuk Lee Chong Wei, Datuk Nicol Ann David, Datuk Sharifah Aini dan  Datuk Shah Rukh Khan.
Diharapkan perbezaan yang telah saya cirikan di atas dapat membantu kita semua dalam membezakan gelaran Datuk dan Dato’ supaya kita dapat menggunakan dan mengenakan kepada orang yang layak dan betul sahaja.

No comments:

Post a Comment